KUALA LUMPUR 21 Feb. – Musim panas ekstrem yang dijangka melanda negara
minggu depan boleh memberi tekanan fizikal kepada tubuh badan dan
kesihatan manusia termasuk menyebabkan kematian seperti strok haba.
Ketua
Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, orang ramai
harus mengambil langkah berjaga-jaga kerana cuaca kering dan
berpanjangan bukan sahaja memberi kesan kepada ekosistem dan kawasan
pertanian, tetapi membahayakan kesihatan.
“Perubahan iklim ini
akan menjejaskan sumber bekalan air yang selamat lalu meningkatkan
kes-kes bawaan air dan makanan serta cirit-birit. Penyakit berkaitan
sistem pernafasan dan kardiovaskular juga meningkat.
“Kes
penyakit denggi pula akan meningkat kerana masyarakat menyimpan air di
dalam bekas simpanan yang tidak ditutup malah cuaca panas juga
merangsang pembiakan nyamuk dan replikasi virus dalam nyamuk,” katanya
kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas
laporan tentang negara ini dijangka bakal berdepan cuaca panas melampau
bermula minggu depan sehingga awal April ini berikutan fenomena Ekuinoks
yang menyebabkan matahari berada tepat di atas garisan khatulistiwa.
Tambah
Dr. Noor Hisham, semua orang berisiko menjadi mangsa cuaca panas tetapi
terdapat kumpulan yang lebih cenderung terkesan akibat perubahan iklim
tersebut.
“Mereka yang terbabit dengan kegiatan aktiviti fizikal
di luar seperti buruh, peladang, ahli sukan, tentera, polis dan
lain-lain lebih berisiko kerana mereka terdedah kepada cuaca panas.
“Orang
dewasa berusia 40 tahun ke atas mempunyai risiko 10 kali ganda
berbanding mereka yang lebih muda. Kanak-kanak berusia lima tahun,
penghidap penyakit sistem pernafasan, darah tinggi, jantung, kencing
manis dan kelenjar tiroid juga antara kumpulan yang berisiko tinggi,”
katanya.
Sementara itu, pakar kesihatan Hospital Universiti
Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Dr. Jegan Thanabalan berkata, cuaca
panas melampau juga boleh menyebabkan strok haba yang boleh membawa maut
khususnya kepada kanak-kanak dan orang tua.
“Masalah kekurangan
air dalam badan adalah yang paling bahaya semasa cuaca kering dan panas
kerana perubahan kandungan garam galian dalam badan boleh menyebabkan
strok haba berlaku.
“Minum banyak air suam, air isotonik dan hadkan aktiviti luar yang terdedah kepada cuaca panas terik,” katanya.